“Apakah lensa yang terbaik patut saya beli?” – Ini adalah salah satu soalan yang paling banyak saya terima. Susah sebenarnya untuk menjawab soalan ini dengan tepat. Lensa yang terbaik untuk anda bergantung kepada bajet dan keperluan fotografi anda. Terdapat berpuluh jenis lensa di pasaran bagi setiap jenama. Setiap satunya mempunyai fungsi yang tersendiri.
Untuk mengetahui apakah lensa yang patut anda beli, pertama sekali anda perlu tahu, subjek apakah yang paling banyak anda rakam. Adakah anda banyak merakam foto pemandangan atau potret atau aksi sukan dan sebagainya.
Berikut ini saya senaraikan beberapa jenis lensa (mengikut focal length berdasarkan crop factor 1.5X) berdasarkan kesesuaian merakam subjek tertentu.
16~35mm
17~40mm
24~70mm
100mm (Macro)
70~200mm
Selain dari itu, anda perlu tetapkan berapakah bajet anda untuk membeli lensa yang anda perlukan. Jika ditanya apakah lensa apakah yang terbaik untuk dibeli, jawapan mudahnya tentulah lensa yang paling mahal adalah lensa yang paling berkualiti bagi setiap kategori lensa tertentu. Biasanya, lensa yang mahal adalah lensa yang berkebolehan memberikan bukaan aperture maksima yang besar seperti f/2.8. Lensa yang berkualiti juga biasanya ada kelebihan istimewa lain seperti VR atau IS bagi mengurangkan risiko gegaran pada foto. Jika anda tidak mampu atau rasakan kelebihan yang ditawarkan tidak begitu bermanfaat untuk anda, anda boleh beli lensa tanpa ciri-ciri ini dengan harga yang jauh lebih murah.
Sekiranya anda seorang beginners yang suka merakam subjek biasa yang ada di sekeliling anda, penggunaan kit lens sudah memadai. Anda tidak perlu terburu-buru untuk membeli lensa tambahan. Berikan sedikit masa untuk anda lihat kecenderungan anda di dalam fotografi. Selepas beberapa bulan dan setelah mengenal pasti bidang pengkhususan anda di dalam fotografi, barulah anda perlu beli lensa tambahan.
Ada orang yang lebih cenderung merakam foto potret, ada yang cenderung merakam foto pemandangan dan ada yang cenderung merakam foto objek mikro sahaja. Setelah mengenal pasti kecenderungan anda, sesuailah jika anda beli lensa berkualti (mahal) yang khusus untuk melakukan kerja mengikut kecenderungan anda. Dengan ini, pelaburan anda akan mendatangkan hasil yang berbaloi kerana lensa yang dibeli digunakan sepenuhnya dan mampu membawa anda lebih jauh dalam penghasilan karya yang berkualiti.
Seseorang yang kerap merakam objek mikro misalnya perlu membeli lensa macro berkualiti tinggi yang berharga sekitar RM3,000. Manakala seseorang yang lebih minat merakam foto hidupan liar perlu membeli lensa bersesuaian yang berkualiti seperti lensa 300mm f/2.8 yang berharga sekitar RM18,000 jika dia mampu dan sanggup berbelanja.
Nasihat saya, sebelum membeli sebarang jenis lensa tambahan, buatlah pertimbangan yang wajar tanpa terpengaruh dengan kawan-kawan. Adalah tidak wajar dari segi kewangan untuk membeli lensa baru sekadar untuk menunjuk-nunjuk, sekadar untuk mengikut perkembangan teknologi atau sekadar ingin kelihatan setaraf dengan rakan-rakan lain. Sebelum membeli sesuatu lensa tambahan, pastikan gambar yang bagaimanakah yang ingin anda dapatkan dan pastikan samada lensa yang bakal anda beli itu betul-betul boleh memberikan apa yang anda harapkan. Pastikan juga anda akan menggunakan lensa yang dibeli itu ke tahap maksima. Anda tidak perlu beli lensa yang berkualiti tinggi jika anda jarang-jarang menggunakan lensa tersebut. Untuk lensa yang jarang digunakan, anda boleh beli lensa yang lebih murah, lensa terpakai atau pinjam sahaja dari rakan-rakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan